Meneroka skytrex!




Lewat 23 Februari yang lalu, saya memenuhi jemputan ke Program TS Day Out-Skytrex yang dianjurkan oleh Tourism Selangor Sdn Bhd. Lebih 30 peserta yang turut menyertai program tersebut di Taman Botani Negara Shah Alam. Terasa nyaman bila kaki menjejaki ke sana di samping dapat menikmati keindahan alam semula jadi. Kisah saya juga telah diterbitkan dalam akhbar Sinar Harian pada 10 Mac 2013. Terima kasih wartawan Roshlawati.

Buat pertama kali saya mencabar diri untuk melakukan aktiviti yang mencabar iaitu Skytrex adventure. Ia adalah aktiviti menempuh halangan di atas udara. Aktiviti ini menguji keberanian kita melawan rasa takut dan gayat. Ini bukan cabaran biasa!

Setiap peserta yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan harnest, dua buah caribiner yang diikat pada tali lanyard, pully dan sarung tangan. Sebelum pengembaraan bermula, penerangan dan demonstrasi mengenai cara-cara penggunaan setiap peralatan, soal keselamatan serta langkah-langkah kecemasan akan diberi terlebih dahulu oleh Pengarah Skytrex iaitu Encik Azlan.

Selepas itu, kesemua peserta akan mulakan cabaran masing-masing bermula dengan rintangan pertama yang memerlukan peserta memanjat tangga gantung setinggi 17 meter dan diikuti dengan pelbagai lagi cabaran yang menanti di hadapan. Di taman pengembaraan Skytrex itu, saya dan para perseta berpeluang untuk bergerak antara sebatang pokok ke pokok yang lain di dalam hutan simpan itu dengan meniti tali-tali halus yang disediakan.

Ada peserta yang terketar-ketar memijakkan kaki pada tali yang kecil dan tidak kurang pula yang menyerah sebelum mencuba kerana tidak terdaya melawan ketakutan pada ketinggian dan cabaran yang bakal dihadapi. Bagi saya sendiri, perasaan takut turut menyelubungi hati kecil ini. Saya diuji dengan keupayaan diri untuk bertahan di atas tali yang halus selain perlu mengatasi perasaan gemuruh dan gayat. Setiap cabaran yang disediakan itu bagaikan gabungan daripada pelbagai aktiviti sukan lasak yang disatukan dalam satu pengembaraan yang mendebarkan dan berbeza dengan cabaran lasak biasa. Skytrex adalah perjalanan yang mendebarkan!

Taman pengembaraan itu merupakan yang pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan eko-rekreasi melalui halangan-halangan yang dipasang setinggi tiga hingga 22 meter dan sesuai dijadikan sebagai tempat riadah buat penggemar aktiviti lasak merentasi halangan ketinggian yang tidak pernah dilalui sebelumnya. Bagi orang dewasa, Skytrex menyediakan dua jenis pengembaraan iaitu Big Thrill dan Ekstrem.



Comments

Popular posts from this blog

Hoore Hoore sebuah filem muzikal yang bagus!!

Datuk Seri Siti Nurhaliza yang "awesome"

Santai di Konsert Jason Mraz