Wednesday, May 6, 2009

Kontroversi (PPSMI)

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima impak besar sekali lagi apabila kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup menolaknya secara tuntas.

Buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan, mereka melontarkan justifikasi yang kukuh menolak dasar tersebut dalam satu kenyataan bersama yang diedarkan pada sidang media di Rumah PENA.

Alasan-alasan itu, antaranya:

1.Kebanyakan pemenang Anugerah Nobel tidak datang dari negara pengguna bahasa Inggeris tetapi negara-negara seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol Switzerland, India dan Bangladesh.

2.Kegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca".

3.Penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan. Pertama, warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan sains teknologi dan kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai sastera dan sains sosial - bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.

Sebagai menguatkan bantahan mereka, dua tokoh sasterawan yang hadir - Datuk A Samad Said dan Muhammad Salleh - membayangkan akan membuang gelaran rasmi kerajaan itu "jika keadaan memerlukan".

Sebagai rakyat Malaysia berjiwa merdeka, secara peribadi saya mengharapkan isu ini diselesaikan segera dengan penuh hemah. Kementerian yang bertanggungjawab haruslah tidak memandang enteng dan perlu mengambil jalan keluar dengan secepatnya walaupun keputusan itu popular atau tidak. Semoga Bahasa Kebangsaan kekal martabatnya.