Friday, June 21, 2013

Dari jendela umrah.....




Assalamualaikum w.b.t, didoakan agar kita semua terus berada dalam kasih sayang Allah. Agak lama saya tidak menulis. Entry kali ini saya ingin membingkiskan catatan ringkas saya lewat mengerjakan Umrah pada 23 May-6 Jun yang lalu. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya untuk menjadi tetamunya. Sukar digambar dengan bicara sehinggakan lidah tidak mampu bersilat kata apabila Allah memudahkan urusan saya.



Saya memasang niat lebih dari setahun yang lalu, rasa rindu pada Rasulullah (S.A.W) telah mendekatkan hati saya pada pencipta yang Esa.. Allah yang satu. Allah telah menemukan saya kembali dengan teman lama semasa belajar di UiTM. Kami kerap berjumpa semasa events di Shah Alam iaitu Cikgu Razak. Saya panggilnya Ajak. Melalui Ajak, saya telah mendaftarkan nama untuk ke Tanah Suci. Saya nekad untuk pergi ke sana walaupun saya terpaksa pergi seorang diri. Dari detik itu jua saya berdoa agar saudara saya yang juga sahabat saya Azril agar dapat mengerjakan umrah bersama-sama saya. Pada awalnya beliau menolak, namun Allah tidak pernah menyalahi janjiNya. Doa saya dimakbulkan, Azril mengambil keputusan untuk menyertai umrah bersama saya dan Ajak.



Bukan mudah untuk menjadi tetamu Allah. Saya sendiri menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan yang menguji iman. Kadang tak setia Mencintai DIA.. sebab iman ini kadang-kadang rapuh. Saya percaya DIA maha mengetahui dan maha pengampun. Akhirnya, saat yang ditunggu telah tiba. Rasa cepat waktu berlalu. 23 Mei masih dalam ingatan. Jemaah kami seramai 80 orang menaiki pesawat Sri Lankan di mana kami akan transit di Colombo selama 2 hari. Sepanjang saya berada di Colombo, saya menginsafi kedaifan mereka. Saya bersyukur dengan nikmat Allah ke atas saya dan negara saya Malaysia.





Apabila menjejaki Kota Madinah, perasaan bercampur baur. Terlalu gembira, lalu rasa gementar, kelu seribu bahasa dan mana mungkin dapat menyeka air mata? Saat mengunjungi Masjid Nabawi, hati sangat terpegun dengan keindahannya. Hanya lafaz syukur yang terbit dari kata-kata. Suhu yang mencecah 50 celcius dan berangin kering tidak melemahkan saya. Hati terpaut di Masjid Nabawi dan betapa selesanya bersolat di sana. Saat memasuki raudhah, terasa kerdil jiwa ini. Apatah lagi terlalu ramai yang berebut-rebut untuk ke raudhah. Naluri saya amat tersentuh tatkala berada di sekitar Makam Rasulullah (S.A.W) dan sahabat banginda. Saat itulah air mata ini tumpah melaju. Ya Allah, betapa aku rindu pada Rasullulah (S.A.W). Di Madinah juga, saya dan rombongan sempat menziarahi beberapa tempat dan membeli barangan. Betapa cepat masa berlalu, maka perjalanan umrah seterusnya ke Kota Mekah.






Saya telah pun beriharam. Saat itu juga saya harus mematuhi rukun yang telah ditetapkan sepanjang berihram. Hati semakin berdebar-debar dan perasaan ini sukar sekali digambarkan. Saya leraikan rasa yang berbaur ini dengan perbanyakkan zikir pada Allah dan selawat ke atas Rasulullah (S.A.W). Dengan izin Allah, saya telah pun sampai ke Masjidil Haram. Sekali lagi, seluruh tubuh rasa menggigil. Saat memasuki Masjidil Haram dari pintu utama King Abdul Aziz saya rasa terlalu takut dan gembira. Betapa perasaan ini hanya Allah saja yang tahu. Saat kaki terus melangkah dan memasuki Masjidil Haram, dari kejauhan, lintasan mata mula melihat Kaabah. Ya Alah betapa Agungnya kuasa Mu. Saya terus solat tahiyatul masjid dan bersujud kepadaNya. Seterusnya saya melunaskan rukun umrah yang dituntut sehingga selesai. Alhamdulillah, syukur pada Allah.










Sepanjang berada di tanah suci Mekah, pelbagai pengalaman saya lalui. Namun, Allah sentiasa memudahkan urusan saya dan memberi kesihatan yang baik-baik sahaja untuk saya. Saya bersyukur jua pada Allah kerana sentiasa diberi ketabahan hati dan kekuatan jiwa tatkala pelbagai dugaan yang melanda. Betapa hebatnya jua kuasa Allah kerana DIA tidak pernah menyalahi janjiNya. Saya yakin dan sentiasa bersandarkan harapan kepada Allah (S.W.T). Saya berharap Tuhan terus sudi dan mengizinkan saya menjadi tetamuNya.. Amin