Opps LOCO - 3h2malam...

Saya sangat teruja apabila menerima jemputan dari Tourism Malaysia Selangor/Putrajaya ke program Opss Loco di KKB. Saya sendiri awalnya tidak pasti apa disebalik singkatan Opps Loco sehinggalah saya bertanya kepada seorang teman baru. Terima kasih kepada Cik Hana, pembantu saya kerana menguruskan cuti tanpa rekod bagi menghadiri program yang bermanfaat ini. Saya sepatutnya bersama dari teman SUK ke program ini namun disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan, saya bergerak solo bagi Opss Loco.

Jumaat 14 Mei yang sangat mendamaikan. Perjalanan diteruskan dari Shah Alam ke KKB. Saya terlelap sehinggalah bas sudah sampai ke destinasi pertama program iaitu di Dewan orang ramai Parlimen Hulu Selangor bagi Majlis Perasmian oleh Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia. Hidangan tengahari yang sangat menyelerakan, nasi kukus ayam dara, cendol, caramel dan rojak. Uhh, mengenyangkan.

Selepas Jumaat kami semua bertolak ke Kem Sinar Dawi. Bermulalah satu pengembaraan yang sangat “menyeronakkan”. Saya tidak menjangkakan yang saya akan berhadapan dengan situasi yang “memayahkan”. Lupakan saja untuk bersukaria kerana ada perkara yang perlu dilunaskan. Saya belajar untuk memasang khemah dan membuat unggun api. Saya terkasima apabila talian telefon sudah tidak berfungsi. Terasa bagaikan terputus dengan dunia luar. Hati kecil pun turut berdebar-debar.

Saya merasai kepayahan dengan penuh tenang. Ketiadaan kemudahan awam yang sempurna meginsafkan saya seketika. Mandi di air sungai yang mengalir. Untuk membuang air pun terpaksa mencebok air di sungai. Ketidakselesaan ini saya tangani dengan penuh hemah dan hikmah. Saya bersyukur kerana malam saya tidak terganggu. Bertemankan mergastua dan unggas malam saya merasai indahnya lelap.

Setiap hari adalah hari yang baru. Perkataan itu terngiang-ngiang di benak fikir. Saya akan berusaha untuk miliki hari ini dengan sebaiknya kerana esok belum tentu. Sepanjang di Opps Loco, semasa aktiviti mendaki, saya tidak terkcuali menjadi mangsa pacat yang kehausan. Habis kaki dan badan saya berparut dek dihisap oleh pacat-pacat hutan. Lukanya kadang-kala bisa.

Saya amat teruja dengan aktiviti abseiling di hari terakhir. Hampir lemas kerana menuruni air terjun yang sangat curam. Seluruh tenaga juga telah hilang dek mendaki. Terasa semangat saya hilang dan saya ingin mengalah. Terbayang-bayang wajah bonda dan teman-teman. Dengan sepenuh kudrat saya tidak mahu mengalah. Saya harus menamatkan aktiviti ini dengan rasa menang. Saya mencabar diri saya untuk bangkit melawan kelemahan. Alhamdulillah, saya berjuang dengan rasa menang!

Saat masa mencemburui kami, perjalanan baki hari terakhir diteruskan ke Bukit Fraser. Perjalanan yang bengkang-bengkok memualkan saya. Buat pertama kali menjejaki ke Bukit Fraser, suasananya agak mendamaikan. Majlis Penutup juga telah diadakan di Shahzan Inn, Bukit Fraser. Jamuan Hi-Tea “ dibedal” dengan penuh nikmat kerana semasa dihutan saya amat merindui pada makanan yang sedap-sedap.

Catatan diruang sempit ini saya akhiri dengan rasa berterima kasih kepada Tourism Malaysia Selangor/Putrajaya kerana menganjurkan program yang bermanfaat seperti ini. Selamat berkenalan kepada teman-teman baru. Sesungguhnya alam semulajadi ini adalah anugerah Tuhan yang terindah. Saya akan pahatkan “pengembaraan” saya sebagai satu kenangan baik untuk dingati.

Comments

Popular posts from this blog

Hoore Hoore sebuah filem muzikal yang bagus!!

Datuk Seri Siti Nurhaliza yang "awesome"

Santai di Konsert Jason Mraz