Malam Puisi Riong-Shah Alam lunas akhirnya....

Hujan lewat petang 30 April pada mulanya amat menggusarkan jiwa. Angin petang yang bertiup kencang membuatkan saya sedikit tidak senang duduk. Alhamdulillah tika senja mula melabuh, hujan seakan-akan faham bahawa “Wasilah Cinta Pencipta & Manusia” bakal bermula. Jika dua minggu sudah saya amat sibuk untuk meguruskan hal-hal “hitam putih” dan pengesahan persembahan bagi Malam Puisi Riong-Shah Alam. Akhirnya tarikh 30 April muncul jua. Sedaya upaya saya menggalas tangunggjawab sebagai Pengarah Projek bagi program tersebut dengan sokongan semua pihak. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk turut beraksi pada malam tersebut bersama Kumpulan Kesenian MBSA dengan membawakan persembahan yang bertajuk “Kerdil Jiwa Hamba”.

Kehadiran peminat puisi pada malam itu adalah amat membanggakan kerana lebih dari 1000 orang yang membanjiri Laman Budaya. Para pengunjung terlebih dahulu dihidangkan dengan persembahan video pendek “Sujud” dan dokumentari. Membuka tirai puisi pada malam tersebut ialah Ashraf Ishak yang banyak mencuri masa. Bagi penggiat muda seperti Noor Azah Ahmad, Mohd Suffian, Mohd Hatta Mohd Yatim, Siti Fariha, Fazleena Hishamudin, Andenn Hassan dan Dr Samsi begitu hebat dipentas puisi. Kehadiran Fynn Jamal juga mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin. Turut hebat ialah Harlym Yeo dan Shukri Abdullah.

Menceriakan majlis apabila Y.B Puan Rodziah Ismail turut tampil beraksi dengan membaca naskah “Lantera Wanita” dan Y.Bhg Dato’ Mazlan Md Nor, Datuk Bandar Shah Alam tampil dengan membaca puisi “Semarak Anggerik Mokara”. Sementara itu, Y.Bhg Dato Meor daripada Berita Harian turut beraksi di pentas puisi. Persembahan gerak tari dari KKNS juga turut memukau.

Malam Puisi terus hangat apabila gurindam dan lagu didendangkan oleh penyanyi Rizu Bintang Realiti (OIAM) dan Rini (AF7). Kehadiran Agi, Faisal Teharani, SN. Datuk A.Samad Said dan SN. Dato’ Dr Anuar Rethwan sememangnya ditunggu-tunggu. Peminat puisi tetap setiap walaupun malam meniti lewat. Tirai Malam Puisi Riong-Shah Alam ditutup dengan persembahan oleh penyanyi Aishah.

Tuntasnya, program ini digarap dengan menggabungkan puisi dan elemen gerak tari dan muzik. Program ini berjaya mengumpulkan “orang-orang lama” dan generasi muda.  Saya yakin semangat perpaduan melalui seni dan budaya dapat disemai apatah lagi ia juga dapat menyampaikan mesej-mesej Kemanusian dan Ketuhanan kepada masyarakat. Akhir kata, sekalung terima kasih untuk semua kerana menjayakan Malam Puisi Riong-Shah Alam.

Comments

Popular posts from this blog

Hoore Hoore sebuah filem muzikal yang bagus!!

Datuk Seri Siti Nurhaliza yang "awesome"

Santai di Konsert Jason Mraz