Ibu,bonda,mok...... Sebuah kehilangan
Layukallifullahu nafsan illa hus'aha.
Allah takkan membebani hambaNya dengan ujian melainkan sesuai dengan kesanggupan hambaNya.
Allah takkan membebani hambaNya dengan ujian melainkan sesuai dengan kesanggupan hambaNya.
Selamat berpergian Mok.......
Semalam, 17 Disember, Isnin jam 3.50 pagi, Allah telah memberi ujian yang sangat berat untuk ditanggung oleh jiwa. Sebuah peristiwa yang meruntun kehidupan saya. Seluruh perdu rasa tersentak dan galau namun dengan izin Allah jua, diri ini redha di atas musibah dan menerima takdir yang tertulis dengan penuh ikhlas dan insaf. Di atas suratan yang tertulis jua, Allah telah menjemput ibu kesayangan saya Allahyarhamah Hajjah Mai Kelsom binti Ismail untuk pulang ke negeri abadi. Allah (S.W.T) telah memanggil pulang "Malaikat Kecil" saya yang senantiasa mendoakan anak-anaknya. Sungguh, saya telah kehilangan satu keberkatan di sisi Allah, iaitu tulusnya doa seorang ibu.
Bonda dipanggil pulang dengan mudah sekali. Ini kali pertama bonda masuk hospital dalam sejarah hidupnya. Sebelas hari bonda terlantar dek "lung infection". Saat itu kami 7 adik beradik setia dan bergilir-gilir menjaga bonda. Minggu lepas 9 Disember, semasa saya berpulang untuk menziarah bonda, bonda boleh bergerak, bercakap, makan-minum dan tetap tersenyum. Saya sempat suapkan semua makanan kegemaran bonda seperti anggur yang dikupas, laksam, oren, sup tulang, buah kurma, kismis, nasi impit, susu dan apricot. Terima kasih Allah kerana memberi kesempatan waktu kepada saya untuk membelai bonda, mengusapnya, menyuapkan makanan, menguruskan diri bonda selembut dan sebaik mungkin dalam tempoh yang terhad sebelum terbang ke Shah Alam. Saat mencium kaki bonda, saya bertanya pada bonda, tentang apa jua kesalahan yang saya lakukan kepada bonda. Sungguh saya tahu memang ada dan wujud pelbagai khilaf walaupun sedar atau tidak. Saya mohon ampun sungguh-sungguh sekiranya gagal menjadi anak yang baik sepanjang bersamanya. Alhamdulillah bonda cakap tiada khilaf dan bonda redha atas segalanya. Sebelum berlepas ke airport Selasa malam, saya mencium dan memeluk bonda dengan rasa tidak puas. Saya kata padanya, tunggu adik Mee balik 22 hbn nanti. Bonda angguk dengan senyuman. Petang 15 Disember, bila kakak dan abang kata bonda semakin lemah dan tidak bercakap dan membuka mata. Saya terus bergegas pulang ke Kota Bharu. Saya mohon pada Allah agar Bonda tunggu saya. Sungguh kali ini saya terasa sangat jauh antara Shah Alam dan Kota Bharu walaupun penerbangan mengambil 1jam 10 minit sahaja. Dalam hati Allah jua yang tahu betapa runtunnya qalbu. Sampai sahaja di airport, saya terut bergegas ke Hospital Perempuan Raja Zainab ii. Saya memanggil "mok". Bonda sempat mengangkat kening. Bonda tahu saya sudah pulang. Saya panggil berulang kali hingga bonda dapat menjawab "yea" dengan linangan air mata. Lega dapat kembali mendengar suara bonda walapun hanya sepatah bicara. Ahad, 16 Disember, keadaan bonda makin lemah tetapi saya sangat optimis untuk melihat bonda kembali sihat. Saya sempat membersihkan tubuh bonda, lap jari kaki dan tangan dengan penuh kasih, salinkan baju baru, pampers dan basahkan bibir bonda dengan air zam-zam. Seperti biasa saya akan pasang alunan ayat Al-Quran di Ipad saya. Bonda sangat menggemarinya kerana setiap kali pulang ke kampung saya pasti memasangnya berhari-hari di biliknya tanpa henti. Lewat petang Ahad, saya memanggil bonda acap kali agar bonda membuka mata.. dengan izin Allah, bonda membuka mata, kami bertentangan dan hanya linangan air mata menjadi saksi. Hari telahpun memasuki hari baru, Isnin 17 Disember. Saya pasangkan ear phones ke telinga bonda agar bonda dapat terus menerus mendengar ayat suci Al Quran. Malam makin pekat. Di luar jendela hospital, hujan turun dengan lebatnya. Saya naik ke katil bonda dan memeluknya erat. Saya bisik ke telinga bonda agar selalu ingat Allah. Saya ajar bonda mengucap lalu saya terlena disisinya seketika. Jam 3.30 pagi, saya bangun dan titiskan air zam-zam ke bibirnya. Habis sahaja titisan air di kapas, saya lihat bonda memberi respon seperti ingin bercakap dengan saya. Sekeliling wad sangat sepi, hujan terus mencurah lebat. Entah mengapa saya rasa mata menjadi terlalu berat lalu terlena seketika disebelah abang saya. Kami tersentak bersama bila ada lintasan angin kuat mengenai badan kami. Terus saya panggil "mok". Saat itu saya lihat bonda sudah tidak bernafas. Saya terkasima seketika. Saat itu saya tahu, bonda sudah tiada lagi. Saya hanya mampu menyebut Innalillahiwainnailaihirojiun...
Alhamdulillah urusan jenazah bonda sangat cepat, urusan hospital, mandi dan kafan. Jenazah bonda dibawa balik ke rumah seketika untuk beri peluang anak-anak, cucu-cucu dan saudara mara menatap buat kali terakhir sebelum dibawa ke masjid. Seluruh tanah rendah sekebun bunga dilanda hujan yang sangat lebat tanpa henti, kawasan sekeliling dinaiki air. Alhamdulillah hujan berhenti seketika untuk urusan pengembumian bonda. Perkara terakhir yang dapat Adik Mee lakukan ialah meletakkan mok di liang lahad dengan cara paling halus dan membisik dalam hati, Adik Mee redha dengan pemergian bonda.
Saat ini, usai Isyak dan tahlil untuk mok. Saat ini jua, hati dicengkam rasa rindu yang terpaling dalam. Wahai Allah, pemilik nyawa, terima kasih Ya Allah kerana kau pinjamkan aku seorang ibu yang sangat baik dan mulia iaitu Allahyarhamah Hajjah Mai Kelsom binti Ismail. Sesungguhnya besar harapanku untuk terus menjadi Qurratul A'yun buat "mok".
*إِنَّا ِلِله وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعُون*
Sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNya kita kembali.
*اَللَّهُمَّ اغْفِرلَهَا وَارحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنهَا*
Ya Allah! Ampunilah dia, rahmatilah dia, selamatkanlah dia, maafkanlah dia.
Comments