Kisah benar sang pemuda yang sangat membenci ayahnya

Saya memilih untuk menulis status ini tanpa niat untuk membuka aib sesiapa. Literalnya, saya telah mendapat izin dari empunya. Saya menulis intipati yang penting sahaja dan tidak memperincikan kisah penderaan dan trauma yang dialami. Saya juga terpana kerana ia benar wujud dalam masyarakat kita. Lewat 12 Ogos yang lalu, seorang pemuda memberitahu saya bahawa dia teramat benci pada ayahnya kerana penyebab masa depannya yang hancur. Dia juga merasa geram pada ibunya tetapi faham situasi yang terpaksa ditanggung ibunya. Katanya, kisah keluarganya adalah sangat pelik dan maha dasyat! Ayahnya berkahwin lebih daripada empat di mana semuanya masih hidup dan tidak berpisah. Cuma lewat beberapa tahun yang lalu seorang ibu tiri yang juga seorang Doktor perubatan meninggal dunia dalam keadaan sadis. Kebanyakkan perkahwinan ayahnya berlangsung di Siam. Menurut pemuda itu, ayahnya licik, pandai berkata-kata, "cerdik" dalam "hukum hakam" dan wanita akan mudah tertawan kepadanya. Di mata masyarakat ayahnya "alim". Saya terkejut apabila dia beritahu jumlah adik beradiknya melebihi 40 orang. Dia hanya kenal berbelas sahaja kerana anak melalui rahim ibunya pun sudah melebihi 10 orang. Ayahnya tidak pernah bekerja! Selesa untuk memakan hasil isteri secara total kerana ibu pemuda tersebut doktor, ibu tirinya juga seorang doktor pakar dan ibu-ibu tiri yang lain ada yang tidak berkerja tetapi terpaksa ditanggung oleh ibu pemuda tersebut. Ayahnya hidup bergaya dengan kereta-kereta baru, no plat kereta sahaja sudah VIP! Pemuda tersebut ceritakan kepada saya tentang keluarganya bagaimana mereka berbelas adik-beradik hidup terseksa. Ibunya terpaksa berhempas pulas di klinik swasta 24 jam untuk memperolehi pendapatan lumayan. Duit gaji habis untuk si suami. Mereka adik beradik tidak dibenarkan untuk keluar rumah kecuali ke sekolah.Tidak dibenarkan untuk bermasyarakat. Rumah mereka adalah taman permainan mereka. Kakak yang perempuan ditugaskan untuk memasak dan menjadi ibu. Kerana tidak cukup wang untuk menyara puluhan anak yang lain dan gaya hidup mewah ayahnya. Adik beradik pemuda tersebut dipaksa berhenti sekolah dan diminta untuk berkerja oleh ayahnya. Mereka hanya dibenarkan bersekolah setakat tingkatan 4 sahaja. Pemuda tersebut bercerita bagaimana dia meraung dan menangis kerana dipaksa untuk berhenti sekolah. Dia mula berkerja tatkala kawan-kawan sebaya sedang berjuang untuk SPM. Dia bekerja di Nilai 3, dan gajinya 100% diserahkan kepada ayahnya. Setelah melepasi usia remaja, akhirnya pemuda tersebut memilih untuk lari dari rumah. Ia turut diikuti oleh abang dan beberapa adik beradik yang lain. Ada dikalangan adik beradik mengalami depresi yang ketara! Mereka lari ke merata pelusuk. Abangnya memilih untuk menjadi buruh di luar negara kerana kesal dengan nasib menimpa. Katanya, "saya telah bebas dari penjara".
Menurut pemuda itu, dia pernah mengadu dan memohon pertolongan kepada beberapa ustaz untuk "melihat" ayahnya dari jauh dan merawat ibunya dari jarak jauh. Kebanyakannya menolak kerana tidak sanggup merawat. Pemuda tersebut mengatakan ayahnya mengamalkan mantera Siam dan juga mendampingi jin untuk memastikan isteri2 dan anak2 tunduk taat. Mantera ini sangat popular di sebuah negeri Pantai Timur. Kini ayahnya menjangkaui umur 60 tahun, walaupun mukanya dimamah usia tetapi tenaganya muda. Cuma semenjak kebelakangan ini ilmu yang kebal mula terlerai secara perlahan-lahan di mana tunas benci di kalangan anak-anak mula membuak-buak kepada ayahnya.
Perbualan kami hampir 3 jam. Saya tidak percaya pada awalnya tetapi apabila pemuda tersebut menunjukkan bukti2 bergambar, video dan dokumen menyebabkan saya diam membisu. Raut wajahnya "keliru", bicaranya tegas seperti ada dendam yang tidak dilunas. Saya berpesan kepadanya agar ziarah lah ibu kerana di situ ada restu. Perlu bangun cepat untuk ubah nasib diri tanpa menjadikan kisah sedih keluarganya menjadi tembok penghalang. Ini adalah jalan cerita yang tertulis untuknya. Saya bertegas kepadanya agar jangan sesekali menyalahkan takdir. Untuk tenang dan bina hati yang kuat, perbaikilah hubungan dengan Allah. Pasti ada jalan keluar untuk itu.
Sehingga hari ini, saya masih terngiang-ngiang dengan cerita pemuda tersebut. Semoga Allah memudahkan urusannya!

Comments

Popular posts from this blog

Hoore Hoore sebuah filem muzikal yang bagus!!

Datuk Seri Siti Nurhaliza yang "awesome"

Santai di Konsert Jason Mraz