Dari jendela umrah.....
Assalamualaikum
w.b.t, didoakan agar kita semua terus berada dalam kasih sayang Allah. Agak
lama saya tidak menulis. Entry kali
ini saya ingin membingkiskan catatan ringkas saya lewat mengerjakan Umrah pada
23 May-6 Jun yang lalu. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya untuk menjadi
tetamunya. Sukar digambar dengan bicara sehinggakan lidah tidak mampu
bersilat kata apabila Allah memudahkan urusan saya.
Saya memasang niat
lebih dari setahun yang lalu, rasa rindu pada Rasulullah (S.A.W) telah mendekatkan hati
saya pada pencipta yang Esa.. Allah yang satu. Allah telah menemukan saya
kembali dengan teman lama semasa belajar di UiTM. Kami kerap berjumpa semasa
events di Shah Alam iaitu Cikgu Razak. Saya panggilnya Ajak. Melalui Ajak, saya
telah mendaftarkan nama untuk ke Tanah Suci. Saya nekad untuk pergi ke sana
walaupun saya terpaksa pergi seorang diri. Dari detik itu jua saya berdoa agar
saudara saya yang juga sahabat saya Azril agar dapat mengerjakan umrah bersama-sama saya. Pada awalnya
beliau menolak, namun Allah tidak pernah menyalahi janjiNya. Doa saya
dimakbulkan, Azril mengambil keputusan untuk menyertai umrah bersama saya dan Ajak.
Bukan mudah untuk
menjadi tetamu Allah. Saya sendiri menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan yang
menguji iman. Kadang tak setia Mencintai DIA.. sebab iman ini kadang-kadang
rapuh. Saya percaya DIA maha mengetahui dan maha pengampun. Akhirnya, saat yang
ditunggu telah tiba. Rasa cepat waktu berlalu. 23 Mei masih dalam ingatan. Jemaah
kami seramai 80 orang menaiki pesawat Sri Lankan di mana kami akan transit di
Colombo selama 2 hari. Sepanjang saya berada di Colombo, saya menginsafi
kedaifan mereka. Saya bersyukur dengan nikmat Allah ke atas saya dan negara saya Malaysia.
Apabila menjejaki
Kota Madinah, perasaan bercampur baur. Terlalu gembira, lalu rasa gementar,
kelu seribu bahasa dan mana mungkin dapat menyeka air mata? Saat mengunjungi
Masjid Nabawi, hati sangat terpegun dengan keindahannya. Hanya lafaz syukur
yang terbit dari kata-kata. Suhu yang mencecah 50 celcius dan berangin kering
tidak melemahkan saya. Hati terpaut di Masjid Nabawi dan betapa selesanya bersolat
di sana. Saat memasuki raudhah, terasa kerdil jiwa ini. Apatah lagi terlalu
ramai yang berebut-rebut untuk ke raudhah. Naluri saya amat tersentuh tatkala
berada di sekitar Makam Rasulullah (S.A.W) dan sahabat banginda. Saat itulah
air mata ini tumpah melaju. Ya Allah, betapa aku rindu pada Rasullulah (S.A.W).
Di Madinah juga, saya dan rombongan sempat menziarahi beberapa tempat dan
membeli barangan. Betapa cepat masa berlalu, maka perjalanan umrah seterusnya
ke Kota Mekah.
Saya telah pun
beriharam. Saat itu juga saya harus mematuhi rukun yang telah ditetapkan
sepanjang berihram. Hati semakin berdebar-debar dan perasaan ini sukar sekali
digambarkan. Saya leraikan rasa yang berbaur ini dengan perbanyakkan zikir pada
Allah dan selawat ke atas Rasulullah (S.A.W). Dengan izin Allah, saya telah pun
sampai ke Masjidil Haram. Sekali lagi, seluruh tubuh rasa menggigil. Saat
memasuki Masjidil Haram dari pintu utama King Abdul Aziz saya rasa terlalu takut dan gembira. Betapa perasaan ini hanya Allah saja yang tahu. Saat kaki terus melangkah dan memasuki Masjidil Haram, dari kejauhan,
lintasan mata mula melihat Kaabah. Ya Alah betapa Agungnya kuasa Mu. Saya terus
solat tahiyatul masjid dan bersujud kepadaNya. Seterusnya saya melunaskan rukun
umrah yang dituntut sehingga selesai. Alhamdulillah, syukur pada Allah.
Sepanjang berada di
tanah suci Mekah, pelbagai pengalaman saya lalui. Namun, Allah sentiasa
memudahkan urusan saya dan memberi kesihatan yang baik-baik sahaja untuk saya.
Saya bersyukur jua pada Allah kerana sentiasa diberi ketabahan hati dan
kekuatan jiwa tatkala pelbagai dugaan yang melanda. Betapa hebatnya jua kuasa
Allah kerana DIA tidak pernah menyalahi janjiNya. Saya yakin dan sentiasa
bersandarkan harapan kepada Allah (S.W.T). Saya berharap Tuhan terus sudi dan mengizinkan saya menjadi tetamuNya.. Amin
Comments