Sayonora 2011!!!

Berat untuk berceritera memandangkan kekangan masa yang terbatas dan "mood" yang malas dipenghujung tahun. Saya harus mengucapkan selamat berpergian 2011. Pergilah bersama fragmen yang pelbagai rupa dan bentuk membawa kisah suka, tawa mahupun sedih yang melewati 2011.

Alhamdulillah saya melalui 2011 dengan baik. Banyak cabaran yang saya depani dengan rasa sabar. Saya juga khuatir pada awalnya, adakah saya mampu menggalas cabaran hidup yang semakin lama semakin berat. Saya ringkaskan antara perkara yang tidak menarik bagi tahun 2011.Saya mengalami sakit yang teruk dan terpaksa berulang alik ke DEMC, gagal dalam ujian yang saya yakin saya lulus, berdepan karenah bodoh yang sangat menyakiti hati, mengalami retak kaki yang teruk dan terpaksa mendapat rawatan KPJ dan saya juga kurang cerdik dalam membuat dan menilai pertimbangan diri dalam beberapa perkara. Saya amat kesal.

Kalau difikirkan jua, ia bukanlah tahun begitu teruk kerana Allah itu amat menyayangi setiap hamba-hambaNya. Alhamdulillah saya bersyukur pada tahun 2011 juga rezeki saya bertambah. Saya juga semakin bijak menguruskan kewangan dengan hemah. Lebih manis apabila saya juga telah disahkan perkhidmatan dalam perjawatan. Saya juga berjaya mengurangkan beban hutang dengan pihak berwajib. Lebih manis, saya berjaya melunaskan beberapa agenda penting dalam kerja. Saya masih dikelilingi oleh teman-teman yang baik. Akrab saya juga berjaya menamatkan kursus dan kini berkhidmat untuk Negara. Saya amat bangga dengannya! Sesungguhnya, saya bersyukur apa saya ada dan akan hargai orang-orang yang dekat dengan hati saya.

Saya sangat yakin pada diri saya sendiri agar saya dapat menguak jendela 2012 dengan lebih baik. Semoga saya terus bernafas dengan rasa syukur padaNya. Saya berdoa agar DIA terus memudahkan urusan hidup saya dan orang-orang yang saya sayangi. Memberkati kehidupan kami semua, kesihatan yang berpanjangan, rezeki yang melimpah ruah dan yang paling penting terus mengeratkan hati-hati kecil kami semua. InsyaAllah, saya akan menyelusuri jalan hidup bagi tahun 2012 dengan lebih hemah dan hikmah. Itu resolusi saya!

Comments

Popular posts from this blog

Hoore Hoore sebuah filem muzikal yang bagus!!

Datuk Seri Siti Nurhaliza yang "awesome"

Santai di Konsert Jason Mraz