Saya seorang Islam, Melayu, Malaysia dan MERDEKA

Saya bersyukur dilahirkan sebagai Islam. Sebagai muslim saya wajib beriman kepada Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana menciptakan alam tanpa pertolongan. DIAlah KHALIK yang Maha Mengetahui dan Maha Menyayangi. Justeru, saya haruslah sentiasa memperbaiki diri untuk mendapat keredhaan Tuhan dalam erti kata yang sebenar. Semoga saya terus diberi ketetapan hati sehingga saya dikafankan. Akan kuberi hati ini untuk Tuhan yang Maha Pencipta.

Saya bangga menjadi anak Melayu Kelantan. Saya akan memastikan semangat Melayu yang kuat dan taat bersendikan adat, bertunjangkan agama akan terus mekar di dalam jiwa saya. Sebagai Melayu, saya memikul tanggungjawab yang besar iaitu untuk hidup serumpun dan harmoni, tanpa mengundang curiga. Sebagai Melayu wirawasta, saya berusaha untuk hidup berdikari selagi ada kudrat. Saya tidak boleh mengharapkan subsidi atau menunggu emas yang tidak akan jatuh dari langit. Saya tidak mahu bermimpi di siang hari. Saya perlu berusaha keras untuk mencari sesuap nasi untuk hidup.

Adalah menjadi tanggungjawab Melayu untuk mengamalkan perkara yang baik-baik saja dan perlu mencegah daripada perbuatan jahat. Sememangnya saya harus berani untuk berkata benar dan sahih. Berani kerana benar, takut kerana salah. Melayu itu orang yang bijaksana, nakal kita pun bersulam jenaka. Kerana apa??? Kerana budi bahasa kita tidak terkira. Kita kaya dengan falsafah, maka kias kata bidal pusaka.

Aduhai, sedang Malaysia mengorak jaya, masih ada diulit mimpi. Tidur kesiangan pun tidak membawa erti, hanya rugi yang menanti. Sungguh malang kerana kita kuat bersorak, kita terlalu ghairah pada temasya, akhirnya kita lupa, harta pusaka habis tergadai dan terjual. Sedang orang mencapai timba kita masih memegang tali, padahal telaga itu kita yang miliki…

Melayu yang baik itu adalah yang menolak permusuhan. Kita bergaduh pun janganlah sampai menghina maruah dan agama. Berdamailah kita cara Melayu Islam, bersamalah kita merapatkan saf yang terpisah, menjalin silaturrahim hati yang murni. Tidak mengapa untuk tunjukkan rasa kerendahan hati dengan hulurkan tangan perdamaian. Sebagai Melayu Islam yang teguh jati diri, kita harus sambut salam perdamaiaan itu sehangat-hangatnya agar luka perbalahan tidak berparut. Kita telah pun redah ombak krisis perkauman 1969, krisis ekonomi 1980an, krisis mata wang lewat 1990an dan pelbagai cabaran yang turut mengundang rawan. Cukup-cukuplah kita merajakan diri dengan perbuatan yang sia-sia lagi batil. Janganlah biarkan Hati Malaya disakiti.

Desir angin Malaysiaku aman, siang malam bertukar ganti, Malaysia rupa-rupa nya sudah melewati 52 tahun usia kemerdekaannya. Membina dan mendapatkannya adalah sesuatu yang amat payah sedangkan untuk meruntuhkannya adalah sekelip mata. Walaupun saya tidak berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan 52 tahun yang lalu, tapi hari ini saya harus berjuang dan bersiap-siaga demi mempertahankannya. Saya adalah pewaris bangsa dan tidak mahu “mati kebuluran” . Kita seharusnya bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang kita ada. Bersamalah kita memastikan jagat Melayu raya terus berkuasa, Raja-Raja Melayu terus bertakhta.

Sebagai anak jati Melayu, saya harus berjiwa perkasa. Saya berjanji pada diri saya untuk menjadi bangsa yang bijaksana yang akan terus memegang tali memegang timba. Saya akan berusaha mengubah kehidupan dengan mencari jalan untuk memliki ekonomi. Saya akan semarakkan budaya bangsa. Saya akan menghargai nikmat kemerdekaan ini dengan penuh kesyukuran dan yang paling penting saya ingin menjadi tuan di negara MERDEKA!!!

Ikhlas
Mohd Zulfahmee bin Ismail
12.03 minit, 30 Ogos 2009

Comments

rothman said…
berbuka posa update
12 sept sabtu rm32 per kepala.. tmpt damansara perdana.. lokasi bkumpul area one utama & tv3 kul 5petang.. tlg respon scpt mgkin dan tlg sebarkan kpd member FSP yg lain.. thanks

Popular posts from this blog

Hoore Hoore sebuah filem muzikal yang bagus!!

Datuk Seri Siti Nurhaliza yang "awesome"

Santai di Konsert Jason Mraz