Jangan bersedih...
Bila saya memandangnya segalanya dari Khalik yang maha esa, yang menciptakan segalanya, DIA juga yang menimpakan ujian terhadap hambaNya, yang menjadikan sebab derita hati kecil ini, yang menjadikan keinginan kita terhalang serta menjadikan jiwa gundah gulana, saya penuh percaya.. pasti tenanglah hati kecil ini. Kerana masakan DIA mentakdirkan segala sesuatu itu untuk sia-sia? Bukannya DIA tidak tahu betapa resah hati kecil itu, derita hamba-hambaNya, kerana mungkin inilah yang DIA mahu kerana ada hikmah yang tersembunyi untuk hamba-hambaNya yang sememangnya hanya DIA yang maha mengetahui.
Lewat seminggu ini, saya rasa begitu teruk dengan banyak perkara yang terjadi. Emosi rasa berbaur ditambah dengan resah dan gundah yang menghimpit jasmani dan rohani. Mengambil keputusan untuk berehat selama 2 hari adalah langkah bijak pada hemat saya. Walaupun terpaksa berpura-pura seolah-olah tidak ada apa-apa yang terjadi, namun jiwa kecil tidak boleh menipu. Umpama babak drama, satu persatu perkara terjadi. Mungkinkah ini cebisan hukuman dek memandang enteng akan kewajipan… saya mengiyakan dengan penuh keinsafan.
Semoga jiwa saya terus kuat dan bersemangat, memujuk hati agar redha dan ikhlas terhadap apa yang terjadi lewat seminggu ini. Saya percaya dengan sepenuh hati, bangunlah! Jika DIA mengkehendaki kita berdiri, dan duduklah jika DIA menyuruh kita duduk! Bersabarlah ketika Allah menjadikan diri kita seorang yang fakir, dan bersyukurlah manakala Allah menjadikan kita seorang yang kaya.
Semoga kebahagian itu menjelma, semoga kerdilnya jiwa terubat dengan harapan, justeru saya tidak akan mudah menyerah, saya tahu, andai saya terlalu mudah menyerah, derita akan menyergap jiwa. Seluruh jiwa saya percaya bahawa, seseorang yang paling dekat dengan kebahagian adalah orang yang memiliki harapan! InsyaAllah…
Comments