MAHSURI...
Semalam, penghujung April saya berkesempatan memenuhi undangan dari pihak Istana Budaya untuk menonton Teater Mahsuri. Kali terakhir saya menonton di Istana Budaya ialah pementasan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang. Diruang sempit ini saya dedikasikan rasa terima kasih kepada Istana Budaya.
Jangkaan saya tepat, keadaan trafik sangat teruk. Dari Shah Alam ke Istana Budaya mengambil masa lebih kurang 2 Jam. Ditemani rakan baik saya Azzahria, kami berjaya menempuhi kesesakan trafik Malaysia dengan tenang. Nasib kami baik,pementasan akan bermula 15 minit lagi.
(Sekitar Pementasan Mahsuri)
Bermula dengan babak awal yang baik, gubahan lagu yang sedap didengar halwa telinga, Mahsuri arahan dramatis tanah air, Fauziah Nawi berjalan menyelusuri plot tanpa membosankan. Watak antagonis juga sangat terkesan dan berjaya dihayati dengan baik. Pementasan yang disulami dengan gerak tari yang indah mempunyai ekstetika yang tersendiri.
Saya tertarik dengan reka bentuk set dalam pementasan ini. Dibantu dengan teknik pencahayaan yang baik ia nampak hidup. Penggunaan props dan kostum yang baik juga turut melengkapi pementasan teater ini. Para pelakon juga berjaya menunjukkan ekspresi wajah dan gerak badan dengan baik.
Saya sedikit terkilan kerana ada ruang kosong terutama pada babak Mahsuri dan orang tuanya merayu kepada wakil Sultan tidak dipenuhi dengan dialog yang baik. “Mahsuri” seolah-olah tidak bersungguh dalam menyatakan pengampunan dan pembelaan terhadapnya. Teater Mahsuri juga meninggalkan para penonton dengan anti klimaks. Ramai yang teruja dengan saat Mahsuri menyatakan sumpahnya terhadap Pulau Lagenda, Langkawi… malangnya, ia disudahi dengan hanya kematian Mahsuri yang diratapi dan iringan nyanyian… ia nampak tergantung dan sedikit kosong!
Tuntasnya, ia sebuah pementasan yang baik dengan olahan yang tersendiri. Direncana dengan kemas dan ia tidak membosankan para penonton. Tahniah untuk semua tenaga produksi Teater Mahsuri.
*Masih teringat dengan kata-kata “cikgu-cikgu” saya 7 tahun lepas antaranya Mazlan Tahir, Faisal Tehrani, Datuk Faridah Merican, Ahmad Yatim dan lain-lain… “sekiranya kita ingin mengkritik seni persembahan pentas biarlah kita tahu dengan dunianya dan ada ilmu tentangnya”
Comments