Takkan Melayu Hilang Di Dunia??? - Dari Mata Hati
Saya meluangkan masa ke Debat Agung, “Takkan Melayu Hilang Di Dunia”- Realiti atau Fantasi pada 6 Jun lepas yang bertempat di Dewan MBSA Sek 11 Shah Alam. Teruja dengan panel debat yang tediri daripada YB Tn Haji Yaakob Sapari (Exco Kerajaan Negeri-PKR), YB Razali Ibrahim (UMNO) dan Prof.Madya Dr.Agus dari UKM, saya menjangkakan ia satu debat yang hangat! Pertemuan ini perlu dilihat dalam aspek yang positif dalam usaha memartabatkan kembali Melayu selepas runtuhnya kota Melaka pada tanggal 1511. Usah prejudis dan wasangka buruk! Pada malam itu semuanya umat Melayu yang sama agama dan bangsa. Rumpun Melayu yang terdiri daripada bermacam kawasan dan daerah. Usahlah bergaduh dan menghancurkan bangsa kerana fahaman sendiri.
Malam itu kian hangat apabila watak-watak yang emosi bangkit bersuara. Sekadar mengambil contoh beberapa watak :
1. Sangat kelakar apabila seorang peguam yang kononnya 27 tahun mengamalkan undang-undang, kaya dengan pengalaman hidup tetapi sungguh malang apabila berhujah seperti remaja hingusan! Peguam tua itu menyalahkan PAS dan KEADILAN tetapi menuntut Melayu bersatu di bawah UMNO. Hujahnya lagi Melayu dan ketuanan kita diinjak-injak kerana tidak bersatu di bawah UMNO… Soalnya… siapa yang menginjak siapa??? Rakyat Melayu semakin terhimpit... siapa bodohkan siapa??? Melayu sangat sensitif.. kita menjadi marah apabila perut kita tak terjaga!
2. Bangun pula seorang pemuda yang kononnya mewakili semua generasi muda pada malam itu dengan penuh angkuh mempersoalkan kenapa Islam Hadhari diharamkan di Selangor? Soal projek Babi yang mega? Terus menerus menghentam kerajaan baru.. Adusss.. kelakarnya, apabila saya mendapat tahu dia sendiri belum pun menamatkan pengajian. Tidak salah mengutarakan pendapat tetapi tak perlu menjadi tali barut yang dipergunakan. Tuhan jadikan akal bukan untuk dicagar! Saya berasa kagum dengan jawapan yang diberikan oleh YB Tn Haji Yaakob Sapari kerana penuh hemah dan bertanggungjawab. Seperkara lagi… Negeri Selangor tidak pernah mengharamkan Islam Hadhari, ia adalah propaganda oleh pihak yang suka mengambil kesempatan! Soal projek Babi pula telah terang lagi bersuluh dijelaskan oleh Kerajaan Negeri. Mungkin di kalangan kita terlalu malas untuk membaca.
3. Tertarik dengan pandangan seorang peguam wanita!17 tahun menjadi peguam. Beliau membangkitkan… mengapa soal perpecahan Melayu sering dikaitkan dengan perbezaan parti politik??? Saya sendiri tidak bersetuju .. bagi saya, tak salah untuk menyertai PAS, KEADILAN mahupun UMNO….. tapi parti-parti ini perlu bersatu, muafakat terhadap setiap persoalan dan ketuanan MELAYU…. Mengapa kaum-kaum lain boleh lakukan dengan jayanya, dan kita tidak???
Kita perlu menjadikan Tanah Melayu sebagai tanah air kita untuk memaut perpaduan dan mengikat persaudaraan- bukannya menohmah PAS yang salah, menuduh KEADILAN yang kabur bukan juga UMNO yang menghancurkan Melayu. Bukan......bukan itu yang kita cari. Kita mahu cari penyelesaian, perpaduan dan senjata ampuh untuk menangani kemelut hak kita yang disanggah. Sekarang bukan lagi masa untuk kita salahkan dia dan mereka. Sekarang adalah masa untuk kita menghulur tangan - bersalam dengan dia dan mereka. Kerana dia dan mereka adalah Melayu, sama dengan kita. Hentikanlah kutuk caci.....kerana kita adalah Melayu yang berbudi. Simpanlah dulu soal agenda sampingan perbincangan.
Apa yang penting ialah pemimpin PAS, KEADILAN dan UMNO (Mahathir+Anwar+Hadi+Abdullah = MAHA) perlu membincangkan agenda besar Melayu, iaitu perpaduan ummah. Soal agenda lain boleh disusuli selepas kalian semakin menyenangi antara satu sama lain.Apabila sudah mampu duduk semeja, maka rundingankanlah segala apa yang difikirkan perlu untuk memartabatkan semula Melayu dan Islam di Tanah Melayu dengan semangat musyuarah yang sebenar. Ketepikanlah kepentingan parti untuk seketika dan utamakanlah kepentingan Melayu. Sesungguhnya tiada manusia biasa yang tidak melakukan kesalahan atau dosa. Kita tidak maksum seperti para anbiya. Kita perlu berani mengakui kekhilafan dan seterusnya memohon maaf dan memperbetulkan perlakuan diri. Umat Melayu dan Islam adalah bersaudara dan sesungguhnya kita adalah saling memerlukan.
Tiada sebab untuk kita bersengketa sesama sendiri. Allah Maha Esa itu satu dan jalan mendapatkan keredhaanNya juga satu. Jika kita terbahagi kepada lebih daripada satu kumpulan dan mengikut landasan yang berbeza, bergaduh sesama, tetapi mengaku menuju pengakhiran yang sama, maka sudah semestinya ada sesuatu yang tidak kena. Seandainya awal-awal lagi kita cuba berdolak dalih serta enggan berdamai, maka malanglah Melayu itu. Kita akan terus bersengekata sesama sendiri sehingga segala kekuatan kita hilang. Orang lain bertepuk tangan dan lebih manis apabila musuh-musuh kita yang sekarang amat mengharapkan kita terus bertikam sesama sendiri yang akhirnya bangsa kita yang rugi.
Seandainya kita terus bebal, usahlah lagi kita mengharapkan keredhaan Allah kerana kitalah yang menzalimi diri sendiri. Sebaliknya, nantilah saja musibah yang dijanjikan kepada kaum yang ingkar. Perpaduan ummah adalah kewajipan yang difardukan kepada kita. Taatilah perintah Allah itu jika kita mengaku hambaNya. Saya bukanlah seorang ahli politik.. saya hanyalah seorang Melayu dan beragama Islam... saya sayangkan bangsa saya...
Comments
APA JUA ALAT, TDK KIRA CANGKUL, SABIT HATTA APA JUA,
ASALNYA HASRAT KITA INGIN PADANG MENJADI RAPI TERCAPAI,
USAHLAH MEMBANDING PERALATAN MANA YG LEBIH BAIK ATAU LEBIH BURUK...
GUNAKAN KESEMUA PERALATAN DAN KEKUATAN YG KITA ADA...
HASRAT YG SATU ITU BISA AKAN TERLAKSANA DGN LEBIH MUDAH JIKA TANPA SENGKETA...